Thursday, May 10, 2007

Korban-korban


Alhamdulillah. Puji-pujian setinggi-tingginya hanya untuk Allah S.W.T. Dialah yang Maha Pemelihara, Maha Pemberi Rezeki, Maha Mengetahui.

Baru saja petang tadi aku telah me'ngorbankan' untaku(kukira tungganganku) kepada saudagar China di Taman U, juga komputer kecil yang baru 4 bulan aku menggunakannya kepada seorang pensyarah di U ini. Kecil bukannya komputer riba tetapi 'casing'nya saja kecil yang aku beli dahulunya dengan harapan mudah untuk aku bawa pulang ke kampung halaman. Tetapi memang benar, apa yang ada di sisi kita bersifat sementara sahaja. Dengan belanja lebih kurang RM 2500++, aku telah membuat keputusan dalam hidup aku ini untuk melakukan sesuatu perkara yang lazimnya pada masa ini tidak senang didengar oleh 'orang-orang ramai' termasuk keluarga aku. Ada yang tidak faham dan ada yang faham tetapi tidak menjangka untuk pergi sejauh itu. Namun setiap perkara baik itu, jika dijelaskan dengan baik dan dengan perancangan yang baik, pasti berlangsung dengan baik. Ujian dan halangan yang timbul sudah pasti anugerah dari Allah S.W.T untuk menaikkan darjat hamba-hambaNYa yang dikasihi.

Aku bukannya baik sangat tapi aku tidak mahu jadi jahat. Jadi, golongan manakah aku ini? Aku mahu jadi orang yang sentiasa menyokong ke arah kebaikan yang selaras dan selandasan dengan keinginan agama ini. Untuk itu bukannya mulut sahaja diperlukan, bukan sahaja hati dimahukan bahkan kaki, tangan, harta, masa dan diri ini perlu dijinak-jinakkan dan diguna pakai untuk kepentingan agama ini. Sudah pasti semuanya bermula dari hati-hati yang berkeinginan dan kata-kata yang baik. Tidak ada jalan mudah untuk dapat harta didunia ini, apatah lagi akhirat sana.

Heh, ini bukan ceramah, cuma tulisan-tulisan untuk aku baca apa yang aku fikir supaya aku sendiri nampak jelas apa sebenarnya yang aku fikir-fikir selama ini. Kawan-kawan aku semuanya sudah ada jalan masing-masing. Semoga kita semua dijalan yang betul.

Tuesday, May 8, 2007

Introduction


Assalamualaikum kepada diri aku dan seluruh umat Islam serata alam. Sekarang pukul 3:15 pagi hari rabu, bulan May, tahun 2007. Pertama kali aku menulis diruangan blog ini yang baru dilahirkan dan ini ucapan sulung menandakan lahirnya blog yang aku tak tahu apa akhirnya dan apa faedahnya. Cuma aku tertarik dengan penulis-penulis blog yang tumbuh macam cendawan selepas hujan, yang mana masing-masing menulis tentang pandangan sendiri tentang hidup ini dan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeling mereka.

Nampak sangat blog ini akan jadi blog yang membosankan tapi tidak mengapa, aku harap dan aku pasti tidak ada sesiapa yang berminat hendak membaca blog aku ini yang penuh dengan coretan-coretan bosan dari fikiran seseorang yang macam aku ini, dan kalaulah kawan-kawan aku tahu aku sudah pandai berjinak-jinak dengan aktiviti-aktiviti seperti ini, sudah pasti aku jadi bahan jenaka dan gelak ketawa.

Untuk yang pertama, aku sudah habiskan pengajian aku dimenara gading yang dianggap puncak pembelajaran bagi seorang pelajar(walaupun sebenarnya ada lagi yang tak habis didaki..). Dan pada ketika ini aku sedang merancang hala dan tujuan baru dalam hidup aku yang amat singkat ini. Untuk keduanya, tidur dulu sebab sudah ngantuk. Turi lu tei('tidur dulu kita' dalam bahasa bajau..). Dunia memang sementara.